Kaedah
Talaqqi Musyafahah ialah kaedah mempelajari bacaaan al-Quran yang tertua iaitu
berdepan secara langsung di antara guru dengan murid seperti mana yang dipraktikkan
oleh Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. Hal ini jelas melalui peristiwa di
Gua Hira’ ketika al-Quran mula-mula diturunkan kepada Rasullullah s.a.w.
seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Dalam peristiwa itu, Jibril
membaca terlebih dahulu bacaan ayat suci al-Quran dan didengari oleh Rasulullah
s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w. meniru bacaan tersebut dengan diperhatikan
oleh Jibril. Setelah itu Rasulullah s.a.w terus menghafal ayat berkenan dan
seterusnya membacakan kepada para sahabat. Para sahabat pula meniru bacaan
Rasulullah s.a.w. Bacaan tersebut juga dituliskan dan seterusnya tulisan itu
dibacakan dan dihafalkan.
Talaqqi pada bahasa bermaksud
pertemuan secara berhadapan atau bersemuka. Manakala menurut istilah, ialah
pertemuan antara guru dan murid secara bersemuka. Lebih mudah ialah, guru
membacakan sepotong ayat kepada sekumpulan murid dan kemudian murid mengikut
bacaan guru secara berhadapan dengan guru beramai-ramai. Kaedah ini juga
dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dengan malaikat Jibril sekali dalam
setahun, dan pada di akhir hayatnya baginda melakukannya 2 kali dalam setahun.
Manakala,
musyafahah pula bermaksud sebutan daripada mulut ke mulut yang diambil dari
pergerakan dua bibir dan pada istilah bermaksud murid menerima pengajaran
melalui sebutan guru, melihat pergerakan bibir guru dan menyebutnya mengikut
guru. Sebagai contoh, seorang guru membaca sepotong ayat kepada seorang murid,
dan kemudiannya murid itu mengikut contoh bacaan guru secara individu.
Di
dalam musyafahah terdapat dua cara yang lazim digunakan dalam proses
pembelajaran dan pengajaran membaca al-Quran. Pertama adalah dengan cara guru
membacakan ayat di hadapan murid dan didengari murid sahaja. Cara ini disebut
al-Mutaqaddimin.[1]
Manakala cara kedua pula, murid membaca di hadapan guru dan guru hanya menyemak
serta membetulkan mana-mana bacaan yang salah. Cara ini sering disebut sebagai
cara al-Mutaakhirin.
Dalam
kaedah talaqqi musyafahah, murid yang mempelajari al-Quran mesti berhadapan
secara langsung kepada gurunya. Hal ini kerana, setiap guru al-Quran atau
salasilah guru al-Quran sanadnya adalah bersumberkan daripada Rasulullah s.a.w.
Di sinilah terletaknya kepentingan berguru di dalam membaca al-Quran secara
talaqqi musyafahah iaitu langsung dari mulut ke mulut dengan bersemuka secara
langsung.
Seperti
sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra yang
bermaksud:
“Sesungguhnya
Allah s.w.t. menyuruhku agar membacakan al-Quran kepadamu. Jawab Ubay, “Allah
memilihku dan menyebut namaku di sisimu? Jawab Nabi s.a.w., “Allah s.w.t. telah
memilih dan menamakan kamu disisiku.” Maka Ubay pun menangis.
Selain itu, beberapa dalil dari
al-Quran yang membuktikan bahawa kaedah talaqqi musyafahah telah diamalkan
sejak zaman kerasulan nabi Muhammad s.a.w. lagi hingga ke zaman moden ini.
Antaranya ialah firman Allah s.w.t. di dalam al-Quran,
(Surah
al-Qiyamah: Ayat 16-18)
Maksudnya:
Janganlah Engkau (Wahai Muhammad) - kerana hendakkan cepat menghafaz Quran Yang
diturunkan kepadamu - menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai
dibacakan kepadamu). Sesungguhnya Kamilah Yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran
itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila
Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, Dengan perantaraan Jibril), maka
bacalah menurut bacaannya itu;
Dalam
Surah al-Isra’ juga, Allah s.w.t. berfirman dalam ayat 106;
Maksudnya:
Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya Engkau membacakannya kepada
manusia Dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.
Faktor
ini juga sangat ditekankan supaya murid mengetahui secara amali dengan betul bagaimana
perlaksanaan semua hukum-hukum tajwid dalam bacaan yang meliputi
makhraj-makhraj huruf, sifat-sifat huruf dan lain-lain hukum tajwid. Menurut
Ibnu al-Jazairi yang dinamakan muqri’ adalah orang yang mengetahui ilmu-ilmu
al-Quran secara musyafahah iaitu pengambilan pembelajaran dari mulut ke mulut.
Seseorang itu tidak akan dinamakan muqri’ selagi mana tidak bertalaqqi ataupun
bermusyafahah sekalipun merupakan seorang yang sangat alim dan telah menghafal
al-Syatibi. Kesimpulannya, talaqqi dan musyafahah adalah syarat utama bagi
kesahihan dan diterima pakai sebagai seorang guru al-Quran yang baik.[2]
Kaedah
talaqqi musyafahah ini asasnya mengutamakan sebutan dan bacaan yang tepat dari
segi makhraj dan sifat huruf serta bacaan kalimah. Hal ini adalah melalui pemerhatian
pergerakan mulut guru secara berdepan atau bersemuka dengan murid. Kemudian, murid
mestilah menyebut atau mengikut cara sebutan guru sepertimana yang ditunjukkan
oleh guru tersebut dan perkara yang perlu dititik beratkan semasa menggunakan
kaedah talaqqi musyafahah adalah, kelemahan contoh bacaan daripada guru memberi
kesan besar kepada murid. Hal ini kerana, murid akan mengikuti dan mencontohi
bacaan guru dalam amalannya.
Kaedah
ini bertujuan adalah untuk memudahkan murid menyebut dan membunyikan huruf
hijaiyah yang berbaris dengan tepat. Selain itu, murid juga dapat membezakan bacaan
panjang atau pendek sebutan huruf dan membaca dengan betul dan fasih
sepertimana guru yang bertindak sebagai seorang mursyid. Bahkan kaedah ini juga
secara tidak langsung dapat memupuk sifat dalam diri pelajar supaya yakin dan berani
mencuba di hadapan guru.
Ciri-ciri
kaedah talaqqi musyafahah yang utama ialah ianya disampaikan secara individu
dan kumpulan. Pembimbing juga perlu menguasai kemahiran yang baik agar input
yang disampaikan kepada murid adalah benar kerana murid-murid akan menambil
maklumat terus dari guru. Selain itu, ciri kaedah talaqqi musyafahah juga
adalah memerlukan penglibatan murid yang aktif. Pembelajaran dan pengajaran
boleh dijalankan dalam kelas atau di luar kelas, serta teks perlulah ada samada
naskah al-Quran, muqaddam ataupun teks-teks lain.
Langkah-langkah
dalam pembelajaran dan pengajaran kaedah talaqqi musyafahah ini bermula apabila
para guru mencungkil pengetahuan dan kemahiran sedia ada dari murid. Kemudian,
sekiranya terdapat kesalahan, guru akan membuat pembetulan dan penerangan dari
perkataan dan ayat yang dibaca serta boleh memperdengarkan bacaan contohnya
melalui kaset atau bacaan guru. Guru juga boleh merakamkan bacaan pelajar dalam
pita rakaman dan memperdengarkan semula bacaan pelajar dan berbincang bagaimana
untuk membuat penambah baikkan dalam bacaan.
Kemudian,
guru mengaitkan bacaan contoh dengan tajuk di papan tulis dan menggunakan
kaedah Talaqqi dan Musyafahah dalam pembelajaran dan pengajaran dengan cara
guru membaca, murid mengikut. Setelah itu, guru membahagikan dan membentuk
kumpulan murid berdasarkan kemahiran membaca. Mereka mendengar bacaan guru dan
mempraktikkan bacaan tersebut dalam kumpulan dengan bimbingan naqib di bawah
pengawasan guru.
Melalui
kaedah talaqqi musyafahah juga, murid secara tidak langsung diajar mengenali
hukum-hukum tajwid di dalam ayat yang dibaca seperti hukum nun dan mim yang
bertasydid, mad asli dan sebagainya. Guru juga menerangkan hukum tajwid bagi
kalimah-kalimah tertentu melalui kad imbasan dan menulis di papan tulis untuk
memudahkan lagi murid untuk memahi. Sekiranya, murid itu berada pada tahap
pemulihan, guru juga boleh mengajarkan dengan cara mempamerkan carta ayat
al-Quran samada ditulis di papan gulung, manila kad atau sebagainya. Pemulihan juga
boleh dilakukan secara latihan mengeja dan menyebut setiap patah perkataan oleh
guru atau murid turus.
Pada
peringkat penilaian, guru meminta seorang atau dua orang murid membaca beberapa
ayat dan guru menyoal murid beberapa hukum tajwid yang terdapat di dalam ayat
tersebut. Melalui jawapan yang diberikan oleh murid, guru boleh menilai sesi
pengajaran dan pembelajaran pada hari itu berjaya atau pun tidak. Sebagai
aktiviti susulan, murid dikehendaki membaca di rumah ayat-ayat yang tidak
sempat dibaca di kelas dan akan diminta membaca semula pada minggu berikutnya.