Tuesday, June 19, 2012

Dakwah di Andalus

Pada zaman Bani Umaiyah, pembangunan di bidang binaan dan ilmu pengetahuan adalah pesat. Ramai orang-orang barat mengunjungi Andalus untuk menimba  dan memperdalamkan ilmu pengetahuan kerana Andalus di kenali sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan. Jadi bagi orang barat, mereka merasakan satu kerugian yang besar sekiranya ilmu yang banyak itu tidak dituntut. Melalui itulah, Islam telah menyebarkan dakwahnya. Banyak ilmu Islam yang di sebarkan secara tidak langsung dan telah menarik ramai orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam setelah melihat bahawasanya ajaran islam adalah menyeluruh dan indah.

Setelah itu, mereka akan pulang ke negeri mereka dan mendirikan sekolah-sekolah untuk bahasa Arab serta kebudayaan yang telah mereka pelajari di Andalus. Mereka juga menggunakan kemahiran yang telah ada dengan mendirikan bangunan-bangunan yang cantik dan indah. Bukan sahaja bangunan untuk di diami malah sekolah-sekolah sebagai satu wadah untuk menyebarkan dakwah Islam.

Masjid-masjid juga telah didirikan oleh kerajaan Andalus untuk proses menyampaikan dakwah dan ilmu pengetahuan. Antara masjid yang di banggakan ialah Masjid Jamek dan Masjid Cordova. Melalui institusi masjid sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan, telah lahir ramai tokoh-tokoh ilmuan seperti Ibnu Bajah yang mahir dalam bidang falsafah, bidang sains dan kedoktoran iaitu al-Zahrawi dan Ibn Zuhr. Dalam bidang fikah dan pengembaraan pula lahir tokoh seperti Yahya bin Yahya al Laisi dan Ibn Jubair serta Ibnu Batutah.

Dakwah di Andalus juga dapat dilihat ke atas perubahan yang berlaku selepas kedatangan Islam. Islam mengambil berat tentang hak-hak umatnya. Islam menekankan konsep menyamaratakan hak-hak di antara orang Islam dan orang bukan Islam serta tidak membezkan mereka dari segi aspek ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Hak mereka disamaratakan. Hal ini berbeza dengan sebelum kedatangan Islam di mana, hak-hak masyarakat ditindas dan dirampas oleh golongan atasan. Mereka di kerah untuk mengerjakan tanah tetapi hasilnya ia ambil oleh golongan atasan. Jadi, apabila kedatangan Islam hak-hak mereka di jaga dan ekoran daripada itu mereka memilih untuk memeluk agama Islam.

Dakwah yang dilakukan oleh islam juga adalah dengan memperkenalkan ekonomi baru seperti industri kulit, tenunan, pembuatan gelas, tembaga dan sebagainya. Melalui sistem ekonomi baru ini, maka Andalus telah berkembang maju dengan hasil-hasil yang di peroleh. Dengan itu negara maju dengan cepat seiring dengan perkembangan Islam. Usaha ini secara tidak langsung telah dapat membantu kehidupan masyarakat yang sebelum ini hidup menderita dan tertindas.

Di samping itu, orang Islam telah mendirikan hampir 70 buah perpustakaan untuk kegunaan masyarakat pada waktu itu bertujuan bagi perkembangan ilmu pengetahuan. Usaha ini bukan sahaja untuk golongan atasan malah untuk golongan bawahan untuk menuntut ilmu. Perpustakaan yang di bina ini adalah satu aset yang berharga bagi golongan bawahan sehingga akhirnya dalam usaha dakwah ini, umat Islam adalah setaraf dan tidak berpuak-puak dan di tindas lagi samada oleh golongan atasan mahupun orang bukan Islam.

Impak terhadap penubuhan perpustakaan ini, masyarakat dapat membaca dan menulis. Tidak seperti sebelum kedatangan Islam, masyarakatnya adalah buta huruf dan hanya golongan atasan sahaja yang dapat membaca dan menulis. Oleh itu, masyarakat lebih memilih untuk memeluk agama Islam dan melalui Islam masyarakat mendapat pelbagai manfaat dan kehidupan mereka lebih baik dari sebelumnya. Tanah-tanah yang dirampas sebelum ini juga telah di kembalikan kepada tuannya dan kerajaan juga dalam usaha menyebarkan dakwahnya telah memperkenalkan pelbagai kaedah pertanian dan tumbuh-tumbuhan seperti penanaman anggur, padi, buah delima dan sebagainya. Orang-orang Arab telah memasukkan ke Sepanyol sistem pertanian yang teratur. Melalui sistem ini kehidupan penduduk di Andalus lebih maju berbanding sebelumnya.

Pendekatan Islam yang digunakan oleh Islam yang tidak memaksa masyarakat bukan islam menganut agama Islam adalah satu pendekatan yang baik kerana secara tidak langsung ia akan menarik minat penganut bukan Islam. Melalui dakwah yang pelbagai inilah telah menarik ramai orang untuk memeluk agama Islam terutama penduduk Andalus yang sekian lama telah di tindas. Maka, dengan memeluk Islam mereka dapat menjalani hidup yang sempurna seperti masyarakat lain. 

Tajdid Dalam Islam

Tajdid dan mujaddid merupakan dua perkara penting dalam memperbaharui sesuatu yang bersifat fizikal, maknawi atau dari segi kefahaman dan pemikiran umat Islam dalam setiap zaman. Sesuai dengan lingkungan zaman yang sentiasa berubah dari segi sosial, pemikiran dan kefahaman terutamanya persoalan-persoalan mengenai Islam yang semakin meruncing, maka terbuktilah bahawa usaha-usaha tajdid adalah sangat diperlukan dan perlu diberi perhatian yang baik.

            Oleh itu, segala bentuk halangan yang dapat menghapuskan atau mengenepikan kegiatan tajdid ini perlu diambil perhatian. Sebagai contoh, umat Islam perlu menghindarkan sifat kejumudan dan kebekuan minda masing-masing. Hal ini kerana, kebekuan dan taklid menjadikan institusi Islam mahupun gerakan Islam sentiasa beku dan tiada perkembangan kerana sifat jumud menyebabkan umat Islam tidak bersedia membuka pandangan dan pemikiran. Dalam erti kata yang lain, umat Islam akan menerima sahaja dan taksub akan sesuatu tanpa melakukan usaha tajdid.

            Sifat dan sikap inilah yang akan membantutkan pemikiran dan menjadikan institusi Islam mandul atau gagal untuk melahirkan tokoh-tokoh pemikir. Mereka hanya bersedia menerima pandangan yang telah sedia ada dan pengalaman lama yang sudah sedia wujud. Demikian itu, pentajdidan perlu dijalankan dari semasa ke semasa.

Pendidikan di Nusantara

Perkembangan Islam ke alam Melayu telah menyemarakkan perkembangan dan pembangunan pembelajaran dan keilmuan di kalangan orang Melayu. Islam telah memperkenalkan pelbagai ilmu seperti teologi, falsafah, astronomi, matematik, undang-undang, tasawwuf, fekah,logik, metafizik, dan pelbagai bidang ilmu lain. Usaha pendidikan dan pembelajaran segala ilmu ini disampaikan melalui perantaraan bahasanya sendiri iaitu bahasa Melayu. Hasilnya bahasa Melayu tidak sahaja berkembang tetapi diangkat menjadi bahasa yang mampu membicarakan pelbagai displin ilmu tinggi.

Revolusi keilmuan ini menyemarakkan tradsisi ilmu hingga melahirkan beribu-ribu institusi pendidikan samada dalam bentuk institusi peringkat rendah dan sederhana seperti suarau, madrasah, rangkang, dan dayah atau institusi peringkat tinggi seperti Baitul-Rahman. Penuntut-penuntut daripada institusi pendidikan ini menjadi ulama yang memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Melayu kerana kemudiannya mereka ini menjadi reformis budaya dan masyarakat Melayu. Lantaran , kelahiran tradisi ilmu ini memulakan zaman pembaharuan bagi orang Melayu. Kedatangan Islam ke alam Melayu boleh dikatakan sebagai era ilmu pengetahuan terhadap alam Melayu.

Malangnya tradisi ini kemudiannya malap apabila alam Melayu gagal untuk mempertahankan kemerdekaan selepas kedatangan penjajah Barat. Era kolonialisasi ini merupakan era zaman kegelapan masyarakat Melayu dan alam Melayu secara keseluruhannya. Bagaimanapun, melalui peranan reformis Islam pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 menyemarakkan semula tradisi keilmuan ini hingga menyumbang juga kepada perjuangan kemerdekaan. Selepas mencapai kemerdekaan tradisi keilmuan ini disemarakkan dan dibangunkan semula mengikut acuan sistem pendidikan moden ala Malaysia.

Islam di Andalus

SEPANYOL

Panglima yang amat berjasa dalam pembukaan  islam di Andalus adalah Musa bin Nushair dan Thariq bin Ziad. Andalus adalah sebahagian daripada Afrika Utara tetapi lama kelamaan Andalus membentuk keperibadiannya sendiri dengan mempunyai gabenor tersendiri yang tunduk kepada kerajaan pusat di Damsyik. Sepanyol berada di bawah pemerintahan umat islam selama kira-kira hampir lapan abad iaitu mulai pada tahun 92Hijrah bersamaan dengan tahun 711 Masihi sehingga jatuhnya kota Geranada.

            Setelah islam bertapak di Andalus, orang-orang Yahudi dari Timur mulai masuk. Cordova merupakan tempat tumpuan utama mereka kerana ia merupakan pusat kegiatan ekonomi dan politik. Mereka juga telah mendapat tempat di kalangan masyarakat Andalus, sehingga ada di antara mereka menjawat jawatan penting seperti doktor, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Terdapat sebuah sekolah Yahudi yang terkenal di kalangan masyarakat umum dengan pengajian kitab Talmudnya.

           Dalam waktu yang singkat sahaja agama islam telah tersebar luas di kalangan penduduk tempatan di Andalus. Salah satu faktor yang mempercepatkan perkembangan islam di Andalus adalah sikap toleransi Islam sendiri terhadap penganut Kristian. Mereka tidak dipaksa memeluk islam tetapi hanya dikehendaki membayar cukai jizyah kepada pemerintah islam.

            Sikap toleransi pemerintah islam serta pergaulan bebas di antara orang-orang islam dengan kristian mengakibatkan berlakunya pengasimilasian penganut kristian Andalus dengan budaya Arab Islam. Pengajian bahasa arab pula telah menggantikan pengajian bahasa Latin. Demikianlah kehadiran islam yang telah mengubah corak dan pelbagai lagi sistem budaya masyarakat Andalus. Dengan ini, dakwah islam terbukti telah berlaku di Andalus.

Monday, June 18, 2012

Kaedah Al-Baghdadiah

Kaedah ini dipercayai berasal daripada Iraq, iaitu berasal dari sebuah bandar bernama Baghdad di negara Iraq. Berikutan itu, kaedah ini dinamakan sebagai Baghdadiah bersempena nama bandar tersebut. Ia diasaskan oleh Abu Mansor Hafzul Fikri al-Baghdadiah pada tahun 376 hijrah. Ia kemudiannya di bawa ke tanah Melayu sejajar dengan kedatangan Islam ke negara ini. Ia merupakan teknik yang paling lama dan meluas digunakan di Malaysia sebelum kedatangan kaedah Iqra’, Qiraati dan lain-lain yang mula dikenali umat Islam pada tahun 1990. Kaedah ini juga telah tersebar ke seluruh dunia dan telah menjangkau 1049 tahun. Kaedah ini juga antara kaedah yang termasyhur di Malaysia sebagai cara pengajaran tilawah al-Quran yang mana kaedah ini amat bergantung kepada peranan guru dalam mengajar. Melalui kaedah ini huruf hijaiyah diperkenalkan secara berperingkat-peringkat dengan cara latih tubi dan pengulangan.
Muqaddam merupakan buku atau bahan asas yang digunakan dalam pengajaran asas tilawah al-Quran bagi kaedah Baghdadiah. Pengenalan huruf hijaiyah, baris dan ejaan amat ditekankan di dalam kaedah ini. Murid-murid akan diajar mengeja menggunakan muqaddam seterusnya tajwid diperkenalkan menerusi surah-surah pendek di dalam al-Quran. Murid-murid yang sudah boleh membaca, akan membaca al-Quran tanpa mengeja lagi.
Kaedah baghdadiah ini umumnya menggunakan kaedah mengeja dan membunyikan ejaan tersebut. Kaedah ini terlebih dahulu memperkenalkan huruf-huruf hijaiyah dengan cara menyebut nama huruf dari alif hingga ya secara latih tubi hingga hafaz. Selepas itu, murid-murid diajar mengeja huruf tunggal berbaris di atas dan membunyikannya. Seterusnya murid-murid diajar mengeja huruf tunggal yang bercampur baris-baris lain, iaitu  baris satu di atas, di bawah di depan serta membunyikannya. Mengeja kalimah-kalimah yang terdapat tanda sukun, tanda tasydid dan membunyikannya. Begitulah seterusnya mengeja dan membunyikan kalimah-kalimah yang mempunyai baris dan tanda bacaan yang berlainan, terdiri daripada dua suku kata atau lebih dari empat suku kata. Ada bacaan pendek, panjang, dengung dan tidak dengung.
Seterusnya kaedah al-Baghdadiah mengajar murid-murid membaca petikan ayat-ayat al-Quran tanpa mengeja lagi. Jika murid ini boleh membaca petikan ayat-ayat al-Quran tersebut, maka ia boleh membaca ayat-ayat al-Quran yang lain dan surah-surah daripada surah al-Fatihah, an-Nas hingga surah an-Naba’. Kebanyakan guru –guru yang menggunakan kaedah ini biasanya menyuruh murid-murid menghafaz surah-surah lazim seperti surah al-Fatihah hingga surah al-Dhuha. Walaupun murid-murid itu belum mengenal huruf hijaiyah dan belum boleh membaca kalimah-kalimah pendek. Dalam kaedah al-Baghdadiah, pelajaran ilmu tajwid diajarkan menerusi surah-surah pendek daripada al-Quran yang dirangkai dengan kitab itu, disusun berurutan secara “berkaedah” daripada yang mudah, sederhana kepada sukar.
Kaedah Baghdadiah menggunakan pendekatan mengeja dan membunyikan bacaan. Murid-murid diperkenalkan dengan huruf-huruf hijaiyah tunggal dari alif hingga ya terlebih dahulu dengan cara menyebut huruf-huruf tersebut secara latih tubi sehingga hafaz. Kemudian mereka diajar mengeja huruf tunggal berbaris satu di atas diikuti dengan huruf hijaiyah tunggal yang bercampur iaitu baris satu di atas, di bawah dan di depan serta membunyikannya.
Murid kemudiannya diajar mengeja huruf bertasydid yang bersambung dengan alif dan ya serta membunyikannya. Huruf hijaiyah berbaris dua diatas, dua di bawah dan dua dihadapan diajar selepas itu. Disusuli pula dengan membunyikan bacaan huruf yang bertasydid yang bersambung dengan alif dan ya. Selepas itu, murid diajar pula mengeja huruf alif, wau, dan ya bertanda mati dan bersambung dengan satu huruf serta membunyikan bacaan tersebut. Ini diikuti dengan mengeja kalimah yang ada huruf alif, wau, dan ya bertanda mati dan bersambung dengan “kam” serta membunyikannya.
Setelah itu, murid diajar mengeja dan membunyikan kalimah-kalimah yang terdapat huruf nun bertasydid serta kalimah-kalimah yang mempunyai baris dan tanda bacaan yang berlainan yang terdiri daripada dua suku kata, tiga suku kata atau empat suku kata atau lebih. Ada bacaan panjang, ada bacaan pendek dan ada bacaan dengung dan tidak dengung. Apabila murid telah mahir, murid-murid diajar membaca petikan ayat-ayat al-Quran tanpa mengeja lagi. Setelah murid menguasai petikan-petikan ayat, maka mereka bolehlah membaca ayat-ayat al-Quran yang lain dari surah al-Fatihah, an-Nas hingga an-Naba’.
Didalam muqaddam, tajwid tidak diberi penekanan malah, pelajaran ilmu tajwid diajarkan menerusi surah-surah pendek daripada al-Quran mulai surah al-Fatihah, an-Nas hingga surah an-Naba’, iaitu menggunakan kaedah daripada yang mudah, sederhana kepada sukar. Kaedah ini juga lebih menumpukan kepada konsep bacaan yang betul.