Monday, June 18, 2012

Kaedah Al-Baghdadiah

Kaedah ini dipercayai berasal daripada Iraq, iaitu berasal dari sebuah bandar bernama Baghdad di negara Iraq. Berikutan itu, kaedah ini dinamakan sebagai Baghdadiah bersempena nama bandar tersebut. Ia diasaskan oleh Abu Mansor Hafzul Fikri al-Baghdadiah pada tahun 376 hijrah. Ia kemudiannya di bawa ke tanah Melayu sejajar dengan kedatangan Islam ke negara ini. Ia merupakan teknik yang paling lama dan meluas digunakan di Malaysia sebelum kedatangan kaedah Iqra’, Qiraati dan lain-lain yang mula dikenali umat Islam pada tahun 1990. Kaedah ini juga telah tersebar ke seluruh dunia dan telah menjangkau 1049 tahun. Kaedah ini juga antara kaedah yang termasyhur di Malaysia sebagai cara pengajaran tilawah al-Quran yang mana kaedah ini amat bergantung kepada peranan guru dalam mengajar. Melalui kaedah ini huruf hijaiyah diperkenalkan secara berperingkat-peringkat dengan cara latih tubi dan pengulangan.
Muqaddam merupakan buku atau bahan asas yang digunakan dalam pengajaran asas tilawah al-Quran bagi kaedah Baghdadiah. Pengenalan huruf hijaiyah, baris dan ejaan amat ditekankan di dalam kaedah ini. Murid-murid akan diajar mengeja menggunakan muqaddam seterusnya tajwid diperkenalkan menerusi surah-surah pendek di dalam al-Quran. Murid-murid yang sudah boleh membaca, akan membaca al-Quran tanpa mengeja lagi.
Kaedah baghdadiah ini umumnya menggunakan kaedah mengeja dan membunyikan ejaan tersebut. Kaedah ini terlebih dahulu memperkenalkan huruf-huruf hijaiyah dengan cara menyebut nama huruf dari alif hingga ya secara latih tubi hingga hafaz. Selepas itu, murid-murid diajar mengeja huruf tunggal berbaris di atas dan membunyikannya. Seterusnya murid-murid diajar mengeja huruf tunggal yang bercampur baris-baris lain, iaitu  baris satu di atas, di bawah di depan serta membunyikannya. Mengeja kalimah-kalimah yang terdapat tanda sukun, tanda tasydid dan membunyikannya. Begitulah seterusnya mengeja dan membunyikan kalimah-kalimah yang mempunyai baris dan tanda bacaan yang berlainan, terdiri daripada dua suku kata atau lebih dari empat suku kata. Ada bacaan pendek, panjang, dengung dan tidak dengung.
Seterusnya kaedah al-Baghdadiah mengajar murid-murid membaca petikan ayat-ayat al-Quran tanpa mengeja lagi. Jika murid ini boleh membaca petikan ayat-ayat al-Quran tersebut, maka ia boleh membaca ayat-ayat al-Quran yang lain dan surah-surah daripada surah al-Fatihah, an-Nas hingga surah an-Naba’. Kebanyakan guru –guru yang menggunakan kaedah ini biasanya menyuruh murid-murid menghafaz surah-surah lazim seperti surah al-Fatihah hingga surah al-Dhuha. Walaupun murid-murid itu belum mengenal huruf hijaiyah dan belum boleh membaca kalimah-kalimah pendek. Dalam kaedah al-Baghdadiah, pelajaran ilmu tajwid diajarkan menerusi surah-surah pendek daripada al-Quran yang dirangkai dengan kitab itu, disusun berurutan secara “berkaedah” daripada yang mudah, sederhana kepada sukar.
Kaedah Baghdadiah menggunakan pendekatan mengeja dan membunyikan bacaan. Murid-murid diperkenalkan dengan huruf-huruf hijaiyah tunggal dari alif hingga ya terlebih dahulu dengan cara menyebut huruf-huruf tersebut secara latih tubi sehingga hafaz. Kemudian mereka diajar mengeja huruf tunggal berbaris satu di atas diikuti dengan huruf hijaiyah tunggal yang bercampur iaitu baris satu di atas, di bawah dan di depan serta membunyikannya.
Murid kemudiannya diajar mengeja huruf bertasydid yang bersambung dengan alif dan ya serta membunyikannya. Huruf hijaiyah berbaris dua diatas, dua di bawah dan dua dihadapan diajar selepas itu. Disusuli pula dengan membunyikan bacaan huruf yang bertasydid yang bersambung dengan alif dan ya. Selepas itu, murid diajar pula mengeja huruf alif, wau, dan ya bertanda mati dan bersambung dengan satu huruf serta membunyikan bacaan tersebut. Ini diikuti dengan mengeja kalimah yang ada huruf alif, wau, dan ya bertanda mati dan bersambung dengan “kam” serta membunyikannya.
Setelah itu, murid diajar mengeja dan membunyikan kalimah-kalimah yang terdapat huruf nun bertasydid serta kalimah-kalimah yang mempunyai baris dan tanda bacaan yang berlainan yang terdiri daripada dua suku kata, tiga suku kata atau empat suku kata atau lebih. Ada bacaan panjang, ada bacaan pendek dan ada bacaan dengung dan tidak dengung. Apabila murid telah mahir, murid-murid diajar membaca petikan ayat-ayat al-Quran tanpa mengeja lagi. Setelah murid menguasai petikan-petikan ayat, maka mereka bolehlah membaca ayat-ayat al-Quran yang lain dari surah al-Fatihah, an-Nas hingga an-Naba’.
Didalam muqaddam, tajwid tidak diberi penekanan malah, pelajaran ilmu tajwid diajarkan menerusi surah-surah pendek daripada al-Quran mulai surah al-Fatihah, an-Nas hingga surah an-Naba’, iaitu menggunakan kaedah daripada yang mudah, sederhana kepada sukar. Kaedah ini juga lebih menumpukan kepada konsep bacaan yang betul.

No comments:

Post a Comment