Tuesday, June 19, 2012

Pendidikan di Nusantara

Perkembangan Islam ke alam Melayu telah menyemarakkan perkembangan dan pembangunan pembelajaran dan keilmuan di kalangan orang Melayu. Islam telah memperkenalkan pelbagai ilmu seperti teologi, falsafah, astronomi, matematik, undang-undang, tasawwuf, fekah,logik, metafizik, dan pelbagai bidang ilmu lain. Usaha pendidikan dan pembelajaran segala ilmu ini disampaikan melalui perantaraan bahasanya sendiri iaitu bahasa Melayu. Hasilnya bahasa Melayu tidak sahaja berkembang tetapi diangkat menjadi bahasa yang mampu membicarakan pelbagai displin ilmu tinggi.

Revolusi keilmuan ini menyemarakkan tradsisi ilmu hingga melahirkan beribu-ribu institusi pendidikan samada dalam bentuk institusi peringkat rendah dan sederhana seperti suarau, madrasah, rangkang, dan dayah atau institusi peringkat tinggi seperti Baitul-Rahman. Penuntut-penuntut daripada institusi pendidikan ini menjadi ulama yang memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Melayu kerana kemudiannya mereka ini menjadi reformis budaya dan masyarakat Melayu. Lantaran , kelahiran tradisi ilmu ini memulakan zaman pembaharuan bagi orang Melayu. Kedatangan Islam ke alam Melayu boleh dikatakan sebagai era ilmu pengetahuan terhadap alam Melayu.

Malangnya tradisi ini kemudiannya malap apabila alam Melayu gagal untuk mempertahankan kemerdekaan selepas kedatangan penjajah Barat. Era kolonialisasi ini merupakan era zaman kegelapan masyarakat Melayu dan alam Melayu secara keseluruhannya. Bagaimanapun, melalui peranan reformis Islam pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 menyemarakkan semula tradisi keilmuan ini hingga menyumbang juga kepada perjuangan kemerdekaan. Selepas mencapai kemerdekaan tradisi keilmuan ini disemarakkan dan dibangunkan semula mengikut acuan sistem pendidikan moden ala Malaysia.

No comments:

Post a Comment