Tuesday, June 19, 2012

Tajdid Dalam Islam

Tajdid dan mujaddid merupakan dua perkara penting dalam memperbaharui sesuatu yang bersifat fizikal, maknawi atau dari segi kefahaman dan pemikiran umat Islam dalam setiap zaman. Sesuai dengan lingkungan zaman yang sentiasa berubah dari segi sosial, pemikiran dan kefahaman terutamanya persoalan-persoalan mengenai Islam yang semakin meruncing, maka terbuktilah bahawa usaha-usaha tajdid adalah sangat diperlukan dan perlu diberi perhatian yang baik.

            Oleh itu, segala bentuk halangan yang dapat menghapuskan atau mengenepikan kegiatan tajdid ini perlu diambil perhatian. Sebagai contoh, umat Islam perlu menghindarkan sifat kejumudan dan kebekuan minda masing-masing. Hal ini kerana, kebekuan dan taklid menjadikan institusi Islam mahupun gerakan Islam sentiasa beku dan tiada perkembangan kerana sifat jumud menyebabkan umat Islam tidak bersedia membuka pandangan dan pemikiran. Dalam erti kata yang lain, umat Islam akan menerima sahaja dan taksub akan sesuatu tanpa melakukan usaha tajdid.

            Sifat dan sikap inilah yang akan membantutkan pemikiran dan menjadikan institusi Islam mandul atau gagal untuk melahirkan tokoh-tokoh pemikir. Mereka hanya bersedia menerima pandangan yang telah sedia ada dan pengalaman lama yang sudah sedia wujud. Demikian itu, pentajdidan perlu dijalankan dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment