Tuesday, June 19, 2012

Dakwah di Andalus

Pada zaman Bani Umaiyah, pembangunan di bidang binaan dan ilmu pengetahuan adalah pesat. Ramai orang-orang barat mengunjungi Andalus untuk menimba  dan memperdalamkan ilmu pengetahuan kerana Andalus di kenali sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan. Jadi bagi orang barat, mereka merasakan satu kerugian yang besar sekiranya ilmu yang banyak itu tidak dituntut. Melalui itulah, Islam telah menyebarkan dakwahnya. Banyak ilmu Islam yang di sebarkan secara tidak langsung dan telah menarik ramai orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam setelah melihat bahawasanya ajaran islam adalah menyeluruh dan indah.

Setelah itu, mereka akan pulang ke negeri mereka dan mendirikan sekolah-sekolah untuk bahasa Arab serta kebudayaan yang telah mereka pelajari di Andalus. Mereka juga menggunakan kemahiran yang telah ada dengan mendirikan bangunan-bangunan yang cantik dan indah. Bukan sahaja bangunan untuk di diami malah sekolah-sekolah sebagai satu wadah untuk menyebarkan dakwah Islam.

Masjid-masjid juga telah didirikan oleh kerajaan Andalus untuk proses menyampaikan dakwah dan ilmu pengetahuan. Antara masjid yang di banggakan ialah Masjid Jamek dan Masjid Cordova. Melalui institusi masjid sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan, telah lahir ramai tokoh-tokoh ilmuan seperti Ibnu Bajah yang mahir dalam bidang falsafah, bidang sains dan kedoktoran iaitu al-Zahrawi dan Ibn Zuhr. Dalam bidang fikah dan pengembaraan pula lahir tokoh seperti Yahya bin Yahya al Laisi dan Ibn Jubair serta Ibnu Batutah.

Dakwah di Andalus juga dapat dilihat ke atas perubahan yang berlaku selepas kedatangan Islam. Islam mengambil berat tentang hak-hak umatnya. Islam menekankan konsep menyamaratakan hak-hak di antara orang Islam dan orang bukan Islam serta tidak membezkan mereka dari segi aspek ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Hak mereka disamaratakan. Hal ini berbeza dengan sebelum kedatangan Islam di mana, hak-hak masyarakat ditindas dan dirampas oleh golongan atasan. Mereka di kerah untuk mengerjakan tanah tetapi hasilnya ia ambil oleh golongan atasan. Jadi, apabila kedatangan Islam hak-hak mereka di jaga dan ekoran daripada itu mereka memilih untuk memeluk agama Islam.

Dakwah yang dilakukan oleh islam juga adalah dengan memperkenalkan ekonomi baru seperti industri kulit, tenunan, pembuatan gelas, tembaga dan sebagainya. Melalui sistem ekonomi baru ini, maka Andalus telah berkembang maju dengan hasil-hasil yang di peroleh. Dengan itu negara maju dengan cepat seiring dengan perkembangan Islam. Usaha ini secara tidak langsung telah dapat membantu kehidupan masyarakat yang sebelum ini hidup menderita dan tertindas.

Di samping itu, orang Islam telah mendirikan hampir 70 buah perpustakaan untuk kegunaan masyarakat pada waktu itu bertujuan bagi perkembangan ilmu pengetahuan. Usaha ini bukan sahaja untuk golongan atasan malah untuk golongan bawahan untuk menuntut ilmu. Perpustakaan yang di bina ini adalah satu aset yang berharga bagi golongan bawahan sehingga akhirnya dalam usaha dakwah ini, umat Islam adalah setaraf dan tidak berpuak-puak dan di tindas lagi samada oleh golongan atasan mahupun orang bukan Islam.

Impak terhadap penubuhan perpustakaan ini, masyarakat dapat membaca dan menulis. Tidak seperti sebelum kedatangan Islam, masyarakatnya adalah buta huruf dan hanya golongan atasan sahaja yang dapat membaca dan menulis. Oleh itu, masyarakat lebih memilih untuk memeluk agama Islam dan melalui Islam masyarakat mendapat pelbagai manfaat dan kehidupan mereka lebih baik dari sebelumnya. Tanah-tanah yang dirampas sebelum ini juga telah di kembalikan kepada tuannya dan kerajaan juga dalam usaha menyebarkan dakwahnya telah memperkenalkan pelbagai kaedah pertanian dan tumbuh-tumbuhan seperti penanaman anggur, padi, buah delima dan sebagainya. Orang-orang Arab telah memasukkan ke Sepanyol sistem pertanian yang teratur. Melalui sistem ini kehidupan penduduk di Andalus lebih maju berbanding sebelumnya.

Pendekatan Islam yang digunakan oleh Islam yang tidak memaksa masyarakat bukan islam menganut agama Islam adalah satu pendekatan yang baik kerana secara tidak langsung ia akan menarik minat penganut bukan Islam. Melalui dakwah yang pelbagai inilah telah menarik ramai orang untuk memeluk agama Islam terutama penduduk Andalus yang sekian lama telah di tindas. Maka, dengan memeluk Islam mereka dapat menjalani hidup yang sempurna seperti masyarakat lain. 

No comments:

Post a Comment